Friday, November 4, 2011

Pandang pertama Nokia N8


Pengenalan kepada Nokia N8
Antara perkara paling asas yang perlu anda ketahui mengenai Nokia N8:
  • Menggunakan sistem operasi Symbian^3
  • Mempunyai kamera 12 Megapiksel yang dilengkapi lensa Carl Zeiss dan Xenon
  • Menyediakan sistem navigasi Ovi yang percuma dan boleh digunakan secara offline
Nokia N8 dan kelengkapannya
Berikut merupakan segala alatan yang hadir bersama kotak Nokia N8:
  • 1 x Nokia N8 bersama bateri
  • 1 x Kabel dari Nokia N8 ke komputer
  • 1 x Headset
  • 1 x Pengecaj telefon
  • 1 x Kabel dari Nokia ke port HDMI
  • 1 x Kabel dari Nokia yang menyediakan port USB
  • 1 x Panduan ringkas
  • 1 x Kad waranti
Saya tertarik dengan rekabentuk pengecaj yang sangat mudah untuk dibawa kemana-kemana.
Rekabentuk
Sebelum ini saya selalu fikir telefon pintar akan kelihatan sangat besar  pada genggaman saya, namun sebenarnya perbezaannya tidaklah begitu ketara dengan telefon biasa. Saiznya selesa untuk dipegang dan diletakkan di dalam kocek seluar.
Bahagian hadapan Nokia N8 hanya mempunyai satu butang sahaja. Butang inilah yang akan digunakan untuk mengaktifkan telefon serta memaparkan menu. Jika anda tekan butang ini buat beberapa ketika, ia akan memaparkan aplikasi yang sedang dibuka pada telefon anda.
Pada bahagian kiri Nokia N8, terdapat butang untuk kamera, butang untuk mengunci telefon, serta dua butang untuk mengubah kekuatan bunyi. Di sebelah kanan pula adalah port untuk kabel Nokia N8 ke komputer.
Pada bahagian atas Nokia, terdapat port HDMI untuk sambungan dari Nokia N8 ke televisyen dan projektor.
Skrin sentuh
Sebagai seorang yang pertama kali menggunakan telefon skrin sentuh (touchscreen), saya sangat kagum dengan pelbagai kebolehan yang boleh dilaksanakan. Sebagai contoh, Nokia N8 boleh digunakan dalam dua kedudukan, menegak dan melintang, dan paparan skrin akan berubah mengikut kedudukan tersebut.
Sensitiviti skrin sentuh Nokia N8 juga agak bagus, anda hanya perlu menyentuh secara lembut sahaja untuk menekan satu-satu butang. Getaran juga akan dirasakan setiap kali anda membuat sentuhan untuk menyatakan yang anda berjaya menekan butang tersebut.
Paparan utama
Menu utama Nokia N8 diisi dengan jam, kalendar, serta pintasan (shortcut) untuk aplikasi-apliasi yang terdapat di dalamnya. Yang menariknya segala pintasan ini boleh diubahsuai mengikut kehenda anda. Hanya tekan mana-mana butang pada menu utama untuk beberapa ketika, dan anda akan diberi pilihan untuk mengubahsuai skrin tersebut.
Nokia N8 menyediakan tiga skrin untuk anda meletakkan pintasan kepada aplikasi-aplikasi kegemaran anda.
Ketahanan bateri
Hari pertama saya menggunakan Nokia N8, saya agak terkejut kerana baterinya hanya tahan selama 13 jam sahaja. Namun saya fikir perkara ini adalah biasa buat kebanyakan telefon pintar, terutamanya apabila sambungan Internet dipasang. Tanpa Internet, saya dapati hayat bateri boleh bertahan sehingga 23 jam.
Jadi jika anda perlu sentiasa peka dengan hayat bateri anda, dan sedia membawa pengecas (atau sekurang-kurangnya kabel dari Nokia N8 ke komputer).
Harga
Harga runcit yang ditawarkan untuk Nokia N8 adalah RM 1’699, namun anda boleh mendapatkannya pada harga yang lebih murah dengan kontrak Maxis, dapatkan maklumat lebih lanjut di sini.
By Syahmi.

No comments:

Post a Comment